Jumat, 07 Maret 2014

Pemuda PAS Pertahan Datuk A Samad Said


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan membantah sebarang tindakan oleh mana-mana pihak untuk menarik balik gelaran Sasterawan Negara yang disandang Datuk A.Samad Said.

Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob berkata, sebarang kenyataan untuk menarik balik gelaran itu merupakan suatu ugutan yang tidak bermoral ke atas tokoh tersebut.

“Usaha menggugurkan gelaran Sasterawan Negara ini juga dilihat sebagai tidak menghargai usaha yang ditaburkan oleh A.Samad dalam mengangkat martabat sastera negara,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Dalam insiden di Dataran Merdeka baru-baru ini, A.Samad mendeklamasikan sajak berhampiran bendera merah putih dengan 12 bintang kuning disusun tiga baris dalam empat jalur yang kemudiannya dirampas seorang lelaki.

Yusapiza seterusnya berkata, beliau khuatir nama A.Samad sebagai Sasterawan Negara akan dipadam terus dalam sistem pendidikan negara akibat perkara itu.

Beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan A.Samad akan tetap melaksanakan agenda beliau meskipun gelaran Sasterawan Negara ditarik balik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam menjelaskan penglibatan A.Samad dalam insiden pengibaran bendera selain Jalur Gemilang pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan Jumaat lalu boleh menjejas pandangan masyarakat terhadap beliau yang diberi anugerah Sasterawan Negara.

Beliau dipetik berkata, masyarakat akan mempunyai tanggapan bahawa terdapat golongan sasterawan yang ‘sakit’ sehingga melakukan tindakan sedemikian bagi mendapatkan perhatian ramai.

Ahmad Shabery bagaimanapun berkata, tindaka menarik balik gelaran Sasterawan Negara hanya boleh ditentukan oleh pihak yang memberikan gelaran tersebut.

A. Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dianugerahkan Sasterawan Negara pada 1985 atas sumbangan beliau memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan Melayu.


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © entri umum Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger